Tips Untuk Awek Muda

Malaysia merupakan negara yang mempunyai suhu panas dengan cahaya matahari sepanjang tahun.

Ramai wanita yang mempunyai masalah jeragat atau hiperpigmentasi yang menyebabkan wajah menjadi kusam dan tidak berseri.

Bahkan ramai juga di kalangan masyarakat kita terutamanya wanita yang obsesi atau tergila-gilakan kulit yang cerah. Tidak hairanlah pelbagai jenis krim dan krim kosmetik yang dipromosikan untuk menjadikan kulit seseorang bertambah putih.

Cahaya matahari pada waktu tengah hari yang panas terik dan kulit muka yang sentiasa terdedah kepada matahari menjadi antara punca utama masalah ini.

Tidak ketinggalan, faktor genetik juga menjadi antara punca yang menyebabkan masalah ini berlaku.

Faktor-faktor lain yang menyebabkan berlakunya wajah berjeragat adalah disebabkan oleh perubahan hormon, kehamilan, merokok, ubat-ubatan tertentu, pekerjaan, umur dan jantina.

Ramai wanita yang mencuba pelbagai jenis krim atau rawatan muka untuk menghilangkan masalah jeragat atau hiperpigmentasi. Tidak ketinggalan juga yang mengambil langkah sementara dengan memakai mekap tebal untuk menyembunyikan masalah ini.

JENIS-JENIS HIPERPIGMENTASI

Menurut statistik, jeragat pada kulit wajah merupakan masalah yang paling biasa dihadapi oleh masyarakat Asia. Hampir 50% konsultasi kepada doktor kulit dan doktor perubatan estetik adalah berkenaan masalah kulit berjeragat seperti masalah melasma, freckle, lentigenes dan bintik suria (sun spot).

Masalah hiperpigmentasi atau jeragat ini berlaku kerana sel kulit daripada jenis melanosit menghasilkan lebihan pigmen ‘melanin’ yang berwarna hitam yang duduk pada sel-sel kulit sehingga menyebabkan warnanya menjadi lebih gelap.

Penghasilan melanin berlebihan ini dibantu oleh enzim tirosinase pada sel-sel kulit. Untuk mengurangkan hiperpigmentasi, ia boleh dirawat dengan menghalang aktiviti enzim menggunakan bahan-bahan aktif yang dipanggil anti-tirosinase contohnya tokotrienol, asid askorbik, asid kojik, alfa arbutin, asid azelaik dan sebagainya.

PUNCA HIPERPIGMENTASI

Secara umumnya kaum wanita lebih mudah mendapat masalah ini berbanding lelaki. Seseorang yang berkulit cerah tetapi selalu terdedah kepada cahaya matahari juga lebih mudah untuk mengalami masalah jeragat.

Selain itu, merokok juga boleh menyebabkan wajah menjadi lebih cepat berjeragat dan berkedut kerana asap rokok mengandungi pelbagai toksin serta radikal bebas yang boleh merosakkan kulit seseorang walaupun anda menyedut asap rokok orang lain.

Seseorang yang sering terdedah di bawah cahaya matahari pada waktu tengah hari dan petang juga boleh mengalami masalah jeragat ini. Malah seseorang yang selalu terdedah kepada suhu yang tinggi seperti tukang masak juga lebih mudah mendapat masalah kulit berjeragat.

TIP ATASI JERAGAT

Terdapat beberapa tip yang boleh membantu untuk mengurangkan dan merawat masalah jeragat ini.

1Elakkan daripada berjemur atau terdedah kepada cahaya matahari yang terik di waktu tengah hari dan petang. Jika perlu keluar gunakan krim pelindung matahari. Gunakan krim pelindung matahari ini daripada jenis yang tidak berminyak dan tidak menyebabkan masalah jerawat dengan kekuatan sekurang-kurangnya faktor pelindung matahari 30 (SPF30).

2Bagi yang ingin menggunakan produk untuk menghilangkan jeragat, pastikan produk tersebut mengandungi bahan-bahan yang boleh menghalang aktiviti enzim tirosinase seperti tokotrienol, vitamin C, beta karotin, asid kojik, asid azelaik, alfa arbutin dan asid mandelik.

Bahan hidroquinon ini hanya boleh dipreskripsikan oleh doktor yang bertauliah sahaja, malah ia juga tidak selamat diamalkan untuk jangka masa yang panjang. Pastikan produk yang anda gunakan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti merkuri dan hidroquinon.

3Terdapat juga beberapa suplemen dan vitamin yang boleh membantu mengurangkan masalah jeragat seperti vitamin C dan vitamin A dalam bentuk asid retinoik. Suplemen antioksidan daripada buah-buahan seperti buah beri, beri biru, beri hitam, acai beri, strawberi dan sebagainya boleh membantu mengurangkan masalah jeragat ini.

Suplemen seperti glutathion dan asid alfa lipoik juga boleh membantu mengurangkan jeragat. Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan asid tranexamic untuk mengatasi masalah jeragat, walaupun terdapat juga kajian yang menunjukkan ia boleh mengurangkan jeragat tetapi ubat ini tidak disyorkan oleh FDA sebagai rawatan khusus untuk jeragat.

4Dapatkan rawatan profesional dengan doktor yang terlatih jika anda menghadapi masalah jeragat yang teruk. Doktor akan memberikan krim-krim tertentu dan memantau rawatan untuk memastikan ia selamat.

Terdapat juga beberapa jenis rawatan yang dilakukan oleh doktor di klinik untuk merawat masalah jeragat ini seperti rawatan mikrodermabrasi, chemical peeling, rawatan laser suntikan dan ubat-ubatan tertentu. Janganlah membeli krim atau ubat-ubat secara atas talian yang tidak diketahui kandungan bahan di dalamnya kerana ia memberi risiko untuk anda mendapat pelbagai komplikasi kesihatan yang lebih merbahayakan.

1,082 total views, 1 views today

Comments

comments

Leave a Reply